Sabtu, 9 Oktober 2010

HIDUP UNTUK MEMBERI

http://denaihati.com/

HIDUP UNTUK MEMBERI

SEKOLAH KEBANGSAAN KEDAI TANJONG

PANITIA BAHASA MELAYU SEKOLAH KEBANGSAAN KEDAI TANJONG

Guru panitia mata pelajaran amat penting dalam sesuatu institusi pentadbiran sekolah sama ada di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah. Setiap jenis mata pelajaran yang terdapat di sekolah mesti mempunyai panitianya mata pelajaran yang tersendiri. Setiap panitia pula mempunyai guru yang dipertanggugjawabkan. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang bidang tugas guru panitia mata pelajaran terutamanya tugas guru panitia Bahasa Melayu, saya telah menjalankan tinjauan dan temuramah di salah sebuah sekolah rendah untuk program Pengalaman Berasaskan Sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di daerah Pasir Mas, Kelantan. Melalui hasil tinjauan dan sesi temu bual yang telah saya jalankan, yang diutamakan sekali ialah Guru Kanan Mata Pelajaran bertanggungjawab sepenuhnya kepada mata pelajaran yang dianggotainya. Ketua-ketua Panitia akan memastikan prestasi mata pelajarannya maju dan meningkat baik dari segi metodologi pengajaran mahupun dari segi ujian dan pencapaian murid-murid. Selaku pemimpin kepada panitia, ketua panitia perlu memainkan peranan sebagai pentadbir, perancang, penghubung, penggerak, penyelaras dan pembimbing demi kepentingan bidang akademik di bawah jagaannya. Selain dari itu, perancangan perlu diadakan untuk menyedia dan memperbanyakkan lagi alat bantu mengajar dan aktiviti-aktiviti sokongan yang akan dijalankan oleh murid semasa berada di sekolah dan di luar sekolah.

Antara bidang tugas yang dipertanggungjawabkan kepada guru panitia ialah yang pertama ialah bertanggungjawab dalam hal kurikulum dan pentadbiran yang berkaitan dengan bidangnya. Seperti yang telah kita bincangkan pada penerangan peranan guru kanan panitia, jadi sama juga dengan peranan guru panitia dalam perkara-perkara berkaitan dengan hal akademik dan pengurusan tentang tugas yang telah diberi. Biasanya guru panitia Bahasa Melayu terdiri daripada para guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah tersebut. Maka, bidang tugas mereka biasa tertakluk pada mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

Bidang tugas kedua ialah guru panitia bertanggungjawab kepada guru besar dalam perancangan dan pengurusan kokurikulum yang berkaitan dengan bidangnya. Hasil pemantauan saya juga, saya telah dapati guru panitia mata pelajaran Bahasa Melayu telah beberapa kali mengadakan mesyuarat perjumpaan bersama dengan guru besar atau guru pentadbir yang lain. Seperti di sekolah yang telah saya lawati, saya dapati mereka kerap mengadakan mesyuarat perjumpaan panitia Bahasa Melayu. Panitia mata pelajaran Bahasa Melayu adalah panitia mata pelajaran yang paling aktif di sekolah tersebut.

Ketiga, bidang tugas guru panitia ialah membantu guru besar menyelia dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan bidangnya. Guru panitia membantu guru pentadbir mengurus dan membuat penilaian tahap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan tugasnya. Bagi guru panitia Bahasa Melayu, biasanya bertanggungjawab kepada mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar pada murid. Mereka akan membuat ujian penilaian melalui ujian pencapaian bagi bagi mengukur tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang telah mereka jalankan. Biasanya guru panitia Bahasa Melayu akan memberi lebih penekanan kepada murid-murid yang bakal menduduki ujian penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Hal ini kerana terdapat dua subjek penting mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan.

Bidang tugas guru panitia yang seterusnya ialah mengadakan program untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Bagi panitia Bahasa Melayu, biasanya panitia ini mengadakan program pemantapan Bahasa Melayu seperti cara-cara menjawab soalan pemahaman dengan betul dan bagaimana untuk menghasilkan karangan yang bagus agar dapat membantu murid-murid dalam peperiksaan terutamanya murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Oleh sebab itu saya dapati bahawa tugas guru panitia Bahasa Melayu mencabar juga kerana Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling penting kerana ia bahasa rasmi negara. Seharusnya penggunaan yang betul dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu murid-murid memantapkan bahasa mereka.

Melalui hasil dapatan pemantauan yang telah saya lakukan di sekolah tersebut, saya mendapati pihak pentadbir dan terutamanya panitia mata pelajaran Bahasa Melayu, mereka lebih menekankan sesuatu perkara tersebut jika ia berkaitan dengan peperiksaan UPSR. Antara penekanan tugas guru panitia mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah ini ialah mereka bertanggungjawab meningkatkan mutu dan prestasi pencapaian akademik sekolah dan pencapaian peperiksaan UPSR. Namun begitu, menurut salah seorang guru panitia yang telah saya temui berkata, selain mereka memberi penekanan kepada murid UPSR, mereka juga masih memberi perhatian kepada murid-murid lain.

Selain daripada itu, dalam sesuatu panitia mata pelajaran mesti mempunyai jawatankuasa panitia mata pelajaran yang terdiri daripada penasihat iaitu guru besar, penolong penasihat iaitu penolong kanan 1, pengerusi iaitu guru kanan mata pelajaran atau ketua panitia, setiausaha iaitu guru dan ahli yang terdiri daripada semua guru mata pelajaran berkenaan. Seperti yang ditugaskan, saya telah mendapatkan maklumat mengenai panitia Bahasa Melayu sekolah yang telah saya pilih. Panitia Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong sangat aktif dalam mengadakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Antara aktiviti yang biasanya dijalankan dalam panitia Bahasa Melayu ini ialah membincangkan hal-hal tentang Rancangan Pelajaran, Buku Teks, buku kerja atau buku latihan, Sukatan Pelajaran dan Huraian, peningkatan pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan dan penilaian, alat bantu mengajar, pemulihan, kerja latihan atau kerja rumah terancang, implementasi rancangan akademik sekolah jangka panjang dan jangka pendek, meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran serta menyediakan SKU dan menetapkan piawaian mata pelajaran.

Di samping itu, panitia juga telah membuat post mortem pencapaian pelajar setiap kali ujian atau peperiksaan dijalankan. Biasanya post mortem dijalankan bagi peperiksaan akhir tahun bagi setiap tahun. biasanya ia melibatkan semua murid dan bukan sahaja pada tahun 6. Di samping itu juga, panitia mengadakan post mortem untuk UPSR bagi setiap tahun. biasanya di sekolah ini pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman mengatasi Bahasa Melayu Penulisan. Mungkin kelemahan ini berpunca daripada sikap murid yang kurang gemar membaca buku bagi menambahkan kosa kata. Namun begitu, beberapa langkah telah diambil oleh pihak sekolah bai mengatasi masalah tersebut.

Panitia Bahasa Melayu ini juga pernah membuat pertandingan membuat buku skrap yang terbuka untuk semua murid. Ia bertujuan ,mencungkil bakat kreatif yang terpendam dalam diri murid. Selain aktiviti pertandingan membuat buku skrap, panitia ini juga mengadakan pertandingan bercerita, bersajak dan tulisan cantik. Kesemua aktiviti ini dapat membantu dan membentuk murid menjadi insan yang berani, yakin dan kreatif. Antara aktiviti paling menyeronokkan ialah mengadakan lawatan rehat minda ke tempat perkelahan luar dari kawasan sekolah.

Sepanjang pengalaman saya di sekolah tersebut, saya amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh guru-guru terutama guru panitia Bahasa Melayu. Dengan bantuan yang mereka berikan, saya mendapat banyak maklumat berguna bagi melengkapkan tugasan yang telah diberi kepada saya. Saya juga amat berbangga kerana panitia mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong ini amat aktif dalam menghidupkan panitia tersebut. Komitmen yang ditunjukkan dalam mengurus dan melaksanakan perancangan memberi motivasi kepada saya agar bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara walaupun pada tanggapan awal saya ia adalah benda remeh.

Saya tahu contest “Hidup Untuk Memberi” dari blog Zon Bebas