Jumaat, 16 April 2010

YANG DI-PERTUAN AGONG KERAJAAN MALAYSIA

YANG DI-PERTUAN AGONG KERAJAAN MALAYSIA

Jawatan Yang di-Pertuan Agong


Mengikut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara. Jawatan Yang di-Pertuan Agong telah diwujudkan pada tahun 1957 selepas negara ini mencapai kemerdekaan. Jawatan ini adalah lambang perpaduan rakyat Negara Malaysia. Peraturan perlantikan Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam Jadual III Perlembagaan Persekutuan. Semua Raja Melayu layak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong; kecuali Raja yang tidak cukup umur, tidak mahu dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi sulit atas sebab keuzuran akal dan badan atas sebab yang lain. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong diadakan lima tahun sekali. Majlis Raja-Raja Melayu yang terdiri daripada sembilan orang Sultan berkuasa melantik Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Majlis Raja-Raja dihadiri oleh sembilan orang Sultan dan empat Yang di-Pertua Negeri. Keempat-empat Yang di-Pertua Negeri tidak mengundi dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong. Sultan yang paling kanan akan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong dan seorang Sultan yang lain pula akan dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sebagai seorang Raja Berpelembagaan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa politik. Tetapi sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam melaksanakan urusan Kerajaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa eksekutif yang boleh dijalankan sendiri atau dijalankan oleh Jemaah Menteri (Kabinet) atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya tiga perkara penting sahaja yang boleh dilakukan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong. Iaitu :
i) Melantik Perdana Menteri
ii) Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen
iii) Meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai kedudukan, keistimewaan, kemuliaan, dan kebesaran Raja-Raja Melayu.
Sebagai ketua utama, Yang di-Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama Islam bagi negara ini dan juga negeri baginda sendiri di samping Negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Menerusi Persidangan Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menentukan tarikh yang sama bagi seluruh negara dalam hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam, seperti menentukan tarikh permulaan puasa dan tarikh Hari Raya.

Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Perlembagaan Persekutuan juga telah membekalkan peruntukan khas yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong memelihara dan melindungi hak dan kedudukan istimewa Orang Melayu dan kaum pribumi Negeri Sabah dan Sarawak. Selain dari kuasa yang telah disebutkan, Yang di-Pertuan Agong juga memiliki kuasa istimewa untuk melantik Peguam Negara, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Dengan kedudukan ini, baginda berkuasa untuk menghukum dan mengampun kes yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera. Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan pesalah-pesalah tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.








Fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong

1. Ketua Negara : Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain di Malaysia. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 32, Perlembagaan Persekutuan.

2. Fungsi Perundangan : Kuasa Perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen dan mengikut peruntukan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu unsur Parlimen.

3. Fungsi Eksekutif : Kuasa eksekutif Persekutuan terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong menurut peruntukan Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan tetapi Perkara 40 menetapkan bahawa baginda hanya boleh bertindak atas nasihat, kecuali untuk beberapa perkara tertentu.

4. Fungsi Kehakiman : Baginda merupakan sumber keadilan dan baginda juga melantik Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Yang di-Pertua Mahkamah Rayuan, Ketua-ketua Hakim Mahkamah-mahkamah Tinggi dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan.

5. Fungsi Ketenteraan : Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi bagi angkatan bersenjata Persekutuan, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan.

6. Fungsi Keagamaan : Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menghendaki Perlembagaan Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri tersebut. baginda juga merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta di negeri asalnya.

7. Kuasa Pengampunan : Yang di-Pertuan Agong juga merupakan sumber pengampunan dan mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan juga bagi semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Hal ini diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

8. Fungsi Diplomatik : Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong melantik diplomat-diplomat Malaysia di luar negara dan juga menerima mengadap diplomat-diplomat asing yang ditugaskan di Malaysia.

9. Sumber Penghormatan dan Kebesaran : Yang di-Pertuan Agong merupakan sumber penghormatan dan kebesaran. Baginda mengurniakan anugerah dan penghormatan kepada warganegara dan bukan warganegara serta mengurniakan darjah kebesaran kepada ketua-ketua negara asing dalam istiadat pengurniaan bintang-bintang bersempena dengan Hari Keputeraan baginda ataupun semasa Hari Kemerdekaan.


Selain tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang tersebut di atas, baginda juga mencemar duli menghadiri pelbagai majlis dan acara.








Proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong
Kuasa memilih Yang di-Pertuan Agong diserahkan kepada Majlis Raja-Raja. Inilah yang dikehendaki oleh raja-raja dalam memorandum yang mereka serahkan kepada Suruhanjaya Reid pada tahun 1957. Segala formula dan peraturan pemilihan adalah seperti yang terkandung dalam memorandum tersebut. Meskipun tidak disebut bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan berkenaan, kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya seakan-akan menekankan sifat itu. Mahkamah sendiri, pada tahun 1987, seolah-olah menekankan sifat itu apabila mahkamah enggan melakukan semakan terhadap keputusan Majlis Raja-Raja melantik Yang di-Pertuan Agong yang kelapan. Mahkamah memutuskan bahawa itulah semangat yang dikehendaki oleh perlembagaan. Selain keputusan lantikan, apakah seseorang raja itu layak menjadi Yang di-Pertuan Agong juga, menurut keputusan mahkamah, adalah hak majlis yang tidak boleh disemak oleh mahkamah . Keputusan ini selaras dengan satu keputusan lain yang dibuat berhubung dengan pertikaian tentang pelantikan ketua adat di Negeri Sembilan pada tahun 1981.

Walau apa pun sifat kuasa Majlis Raja-Raja dalam soal pemilihan ini, ungkapan yang digunakan oleh perlembagaan, yakni versi bahasa Inggeris, kadangkala menimbulkan perbahasan kecil. Ini kerana versi tersebut menggunakan ungkapan electing yang bermaksud memilih dan election yang bermaksud “pemilihan” sedangkan yang ada dalam peruntukan berkenaan tidak membolehkan kempen, penamaan atau sokongan untuk calon bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong. Sebaliknya yang ditetapkan ialah, seperti yang akan dilihat selepas ini, majlis dikehendaki menawarkan jawatan itu kepada raja yang paling kanan. Tetapi majlis juga diberi kuasa untuk mengisytiharkan raja tersebut (yang patut ditawarkan jawatan kerana kedudukan kekananan baginda) tidak layak atas apa sebab sekalipun. Dengan demikian, pemilihan itu sebenarnya bukanlah proses yang bersifat demokratik apalagi mengingat bahawa hanya sembilan orang raja yang boleh mengambil bahagian. Itu pun mengikut susunan dan peraturan tertentu. Dengan kata lain, Yang di-Pertua Negeri tidak boleh mengambil bahagian dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, dan peranan Majlis Raja-Raja dalam konteks pemilihan Yang di-Pertuan Agong ini sebenarnya merujuk sembilan orang raja itu sahaja.

Pelbagai komen telah dibuat tentang proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong. Ada yang mengatakan bahawa sistem itu dipinjam daripada Negeri Sembilan. Ini tidak salah. Tetapi berbeza dengan Undang Luak yang empat itu, raja-raja sebenarnya memilih sesama mereka,sedangkan para Undang Luak itu memilih salah seorang daripada kerabat diraja yang layak dijadikan raja:Undang Luak itu sendiri tidak boleh turut serta. Ada juga yang melihat persamaan antara pemilihan Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Naib Canselor di Cambridge dan Oxford. Selain itu, ada yang membandingkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Pope,ketua mazhab Katolik. Cuma yang berbeza ialah Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti Pope,hanya bersemayam selama lima tahun sahaja. Dalam pada itu, ada yang melihat lebih jauh ke belakang ;yakni pemilihan Maharaja Rom yang suci pada abad ke-15 dan ke-16 yang sering menimbulkan perbalahan antara keluarga diraja Bourdon dari Perancis dengan keluarga diraja Hapsburg dari Jerman. Kita tidak pasti apakah prosedur pemilihan Yang di-Pertuan Agong mendapat inspirasi daripada contoh-contoh tersebut. Tetapi kita juga boleh mengatakan bahawa persamaan dengan mana-mana sistem mungkin berlaku secara kebetulan.



Sebelum kita meneliti amalan dan implikasi prinsip pemilihan yang ditetapkan oleh perlembagaan,terlebih dahulu eloklah diperturunkan ketetapan perlembagaan supaya kita jelas yang mana disebut oleh perlembagaan dan yang mana merupakan amalan atau implikasi daripada peruntukan berkenaan. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seseorang raja itu layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ,kecuali:
• (i) baginda belum dewasa,atau
• (ii) baginda telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat untuk dipilih ,atau
• (iii) Majlis Raja-Raja telah mengambil ketetapan bahawa baginda tidak sesuai untuk menjalankan tugas –tugas Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana sebab –sebab lain.

Dalam mengambil ketetapan ini,perlembagaan mensyaratkan bahawa lima orang raja telah menyokong ketetapan itu;satu keputusan majoriti. Kita boleh menyatakan bahawa syarat-syarat itu lebih merupakan kelayakan negatif; yakni hal-hal yang menyebabkan seseorang raja itu menjadi tidak layak untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan itu, apakah ini bermakna syarat-syarat atau kebiasaan yang diamalkan di peringkat negeri boleh diterima pakai (tertakluk kepada kelayakan negatif tadi)?. Walau apa pun jawapannya, raja-raja hanya boleh dicalonkan menjadi Yang di-Pertuan Agong atas kedudukannya sebagai raja di negeri baginda.

Perlembagaan memperuntukkan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak dipilih. Raja ini, menurut perlembagaan, ialah raja yang negerinya berada pada tempat pertama dalam senarai pemilihan. Sekiranya raja berkenaan tidak mahu menerimanya, maka majlis hendaklah menawarkan jawatan itu kepada raja yang negerinya berada dalam tempat yang berikutnya. Proses ini hanya berhenti setelah raja yang ditawarkan jawatan itu menerimanya.

Bagaimanakah senarai pemilihan itu dibuat? Ada dua perkara penting di sini, iaitu pertama, perlembagaan menyatakan bahawa bagi pemilihan yang pertama senarai itu disusun mengikut kekananan raja-raja pada tahun 1957. Kekananan ini diukur berdasarkan senarai keutamaan atau protokol dalam kalangan raja sebagaimana yang diiktiraf oleh mereka. Kelihatannya inilah yang disebut oleh perlembagaan sekarang yang menetapkan selepas Yang di-Pertuan Agong dan permaisuri baginda, raja-raja mengambil keutamaan sesama mereka menurut tarikh mereka diangkat menjadi raja di negeri masing-masing. Senarai inilah yang menentukan susunan keberangkalian tiba dan balik raja-raja dari sesuatu mesyuarat Majlis Raja-Raja. Satu lagi perkara yang penting dalam soal senarai pemilihan pada tahun 1957 itu, senarai yang digunakan ialah senarai yang disusun selepas itu. Ada beberapa perkara yang disebut dalam perlembagaan berhubung soal penyusunan senarai itu; yakni
o (i) negeri yang mendahului negeri yang rajanya telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipindahkan ke bawah senarai, sementara negeri yang rajanya telah dipilih ditinggalkan,
o (ii) jika ada perubahan raja di sesebuah negeri, maka negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai,
o (iii) apabila tiada lagi raja dalam senarai atau tiada raja yang layak dilantik, maka senarai itu hendaklah disusun dengan memasukkan kesemua sembilan negeri bermula dengan negeri yang rajanya menjadi Yang di-Pertuan Agong yang lebih awal,
o (iv) selepas setiap pemilihan, senarai itu hendaklah diubah dengan memindahkan negeri di atas negeri yang rajanya dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke bawah senarai dan negeri yang rajanya dipilih itu di bawah sekali.




Beberapa ciri yang kelihatan dalam prinsip penyenaraian yang pada hakikatnya merupakan prinsip yang menemukan pelantikan Yang di-Pertuan Agong ialah :

• (i) soal kekananan hanya penting dalam senarai pertama pada tahun 1957,
• (ii) yang lebih diutamakan ialah negeri dan bukan raja; suatu pertimbangan yang kelihatannya diberi penekanan supaya semua negeri mempunyai peluang meletakkan rajanya menjadi Yang di-Pertuan Agong; yakni Kepala Negara Utama Persekutuan Malaysia.

Meskipun demikian, perlulah diingat bahawa semuanya tertakluk pada kuasa mutlak Majlis Raja-Raja mengisytiharkan raja yang berhak menjadi Yang di-Pertuan Agong tidak layak atas sebab-sebab tertentu. Jika ini berlaku, maka pertimbangan negeri itu akan dikesampingan juga. Dengan wujudnya kuasa mutlak majlis itu juga adalah tidak mustahil jika seseorang itu menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk dua penggal berturut-turut.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dijalankan secara undi sulit. Bagaimanapun, senarai raja yang dipilih mungkin boleh memberi bayangan keapda kita apa yang berlaku. Dari segi kekananan raja-raja, ciri yang digunakan dalam merangka senarai negeri pada tahun 1957, susunannya adalah seperti yang berikut: Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak. Bagaimana-pun, keputusan pemilihan menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong pertama ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman, manakala Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah Sultan Hisamuddin Alam Shah dari Selangor. Tuanku Abdul Rahman, bagaimanapun, tidak sempat menghabiskan tempoh lima tahun apabila baginda mangkat pada tahun 1960. Manakala Yang di-Pertuan Agong kedua, Sultan Hisamuddin, hanya memegang jawatan itu selama beberapa bulan. Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Jamalullail, ialah raja pertama yang bersemayam selama lima tahun dari 1960 hingga tahun 1965.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong juga dilakukan oleh Majlis Raja-Raja apabila berlaku kekosongan jawatan tersebut. Ini kerana jawatan Yang di-Pertuan Agong boleh kosong atas beberapa sebab; termasuk apabila pemegangnya mangkat atau apabila pemegang jawatan itu dipecat oleh majlis. Ini bermakna bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak hanya kosong tiap-tiap lima tahun.



Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam Proses Pemilihan
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memainkan peranan yang penting bagi memastikan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong berjalan lancar dan mengikut kehendak perlembagaan. Meskipun penyimpan mohor mungkin hanya dilihat sebagai fasilitator atau pemudah cara yang tugasnya semata-mata menjalankan kerja yang telah ditetapkan oleh perlembagaan, itu semua memerlukan pengalaman dan pengetahuan yang berkaitan. Ini kelihatan dalam kenyataan bahawa kebanyakan pemegang jawatan itu hanya bersara atas sebab-sebab keuzuran dan seumpamanya. Tidak ada pemegang jawatan itu bertukar ke jabatan-jabatan lain. Ia juga ditekankan oleh kedudukan pemegang jawatan tersebut yang bergantung atas perkenan Majlis Raja-Raja.

Peraturan Majlis Raja-Raja menyatakan bahawa adalah menjadi tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk memaklumkan kepada semua raja, melalui surat atau telegram, tentang tarikh pemilihan serta pengesahan daripada tiap-tiap orang raja sama ada mereka bersedia untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong. Setelah itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dikehendaki menyediakan senarai raja, mengikut susunan kekananan mereka, yang telah menyatakan persetujuan untuk dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Selain senarai, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga bertanggungjawab menyediakan kertas undi yang mengandungi nama raja-raja yang layak dan bersedia untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Peraturan berkenaan menetapkan bahawa sekiranya seorang raja tidak dapat hadir dalam proses pemilihan itu, baginda hendaklah memberitahu secara bertulis wakil baginda iaitu salah seorang daripada raja-raja yang lapan, yang akan mengundi bagi pihak baginda yang berhalangan itu.

Dalam mensyuarat pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dikehendaki memaklumkan kepada raja-raja tentang:
• raja-raja yang layak dipilih tetapi tidak menyatatakan bahawa baginda tidak sanggup memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ,
• nama raja yang melantik wakil untuk mengundi bagi pihak baginda, dan
• mengedarkan kertas undi berkenaan.

Setelah pengundian selesai dijalankan , Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dikehendaki memaklumkan keputusan kepada mesyuarat dan meminta raja yang dipilih untuk mengesahkan sekiranya baginda bersedia memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya baginda sanggup, maka Majlis Raja-Raja akan membuat pengesahan dan pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula akan dijalankan melalui proses dan prosedur yang sama. Perlembagaan juga memberi tanggungjawab kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk memaklumkan pelantikan ini kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Perlu dicatatkan bahawa Peraturan Majlis Raja-Raja menetapkan bahawa jumlah undi yang didapati oleh raja-raja yang berkenaan hendaklah dirahsiakan dan kertas-kertas undi yang telah digunakan dalam pemilihan itu hendaklah dimusnahkan di hadapan raja-raja itu sama ada dengan cara dibakar ataupun menggunakan mesin pemotong kertas. Bagaimanapun, setakat ini kertas-kertas undi lazimnya dimusnahkan dengan cara dibakar.



Pemilihan –Antara Peraturan dengan Amalan

Setakat ini tidak ada penyimpangan yang ketara dan menjolok dalam prosedur pemilihan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, ini tidak dapat dipastikan seratus-peratus kerana tidak ada rekod yang disimpan berhubung dengan pemilihan tersebut. Tetapi kadangkala ada tulisan, malah cerita-cerita mulut tentang pemilihan tersebut. Ini tidak memeranjatkan kerana raja-raja adalah manusia biasa dan pemilihan tersebut adalah pemilihan orang nombor satu negara.

Seperti yang kita lihat dalam senarai pemilihan, ada ketikanya raja sepatutnya dipilih tidak menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pada tahun 1957, raja-raja yang paling kanan ialah Sultan Johor dan diikuti Sultan Pahang. Bagaimanapun yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kemudiannya diberi penghormatan untuk mengisi wang kertas negara. Kita tidak mungkin mengetahui sebab-sebab mengapa kedua-dua orang raja itu tidak dipilih. Ini kerana pemilihan itu tidak direkodkan. Seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan, kertas-kertas undi mesti dimusnahkan di hadapan raja-raja selepas pemilihan tamat. Setakat ini pemilihan ini menjadi suatu proses yang menarik; yang ditunggu oleh seluruh Negara. Seorang ketua hakim, yang kemudiannya menjadi sultan sebuah negeri, mencatatkan bahawa rakyat negeri yang rajanya dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong berasa senang hati kalaupun tidak berasa bangga. Ini kelihatan dengan kesediaan seorang raja, yang meskipun pada mulanya melahirkan rasa tidak begitu bersedia untuk bersemayam satu penggal penuh, untuk mengambil penggal penuh kerana diperingatkan tentang perasaan rakyat negeri baginda. Dari satu sudut, institusi Yang di-Pertuan Agong ini menjadi institusi tradisi yang mempunyai imej yang agak demokratik dengan adanya ciri-ciri pusingan itu.

Minat orang ramai terhadap pemilihan Yang di-Pertuan Agong boleh mendatangkan kesan yang positif. Selain menunjukkan kesan positif jawatan itu sebagai simbol atau lambang autoriti awam dan perpaduan, minat itu juga boleh, secara tidak langsung, memaksakan akauntabiliti terhadap Yang di-Pertuan Agong. Siapa pun, sekiranya terdedah kepada perhatian dan penelitian orang ramai, akan sedar tentang kesan fungsi dan kuasa yang dijalankan. Minat itu juga akan menyebabkan Majlis Raja-Raja lebih serius dan sedar dalam mengawal Yang di-Pertuan Agong; sesuatu yang jelas boleh dikuatkuasakan melalui kuasa memilih dan memecat baginda. Dari satu sudut, kewujudan Majlis Raja-Raja semacam menyediakan mekanisme semak dan imbang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Ini menyebabkan sistem beraja di Malaysia unik dan tersendiri. Raja-raja lain di dunia tidak tertakluk kepada sebuah badan seumpama majlis; menyebabkan kedudukan raja-raja di negara lain sering dipersoalkan kerana tidak wujud mekanisme yang jelas untuk memecat mereka. Dalam demokrasi moden, kuasa memecat ini penting kerana ia merupakan hukuman kepada penjawat awam yang gagal menjalankan peranan dan tugasnya. Sebab itu meskipun ada orang yang mengejek Malaysia kerana sepertiga daripada raja-raja yang masih kekal di dunia berada di Malaysia, apa yang lebih perlu ditekankan ialah agar raja-raja tidak melakukan kezaliman dan pembaziran.









Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong
Seperti yang disebutkan di awal bab, hubungan Majlis Raja-Raja dengan Yang di-Pertuan Agong perlu dihurai dalam soal pelantikan dan pemecatan. Selain itu, kawalan yang boleh dikenakan oleh majlis terhadap baginda ialah kebenaran yang perlu diperoleh sebelum Yang di-Pertuan Agong meninggalkan persekutuan dalam tempoh melebihi lima belas hari kecuali untuk tujuan lawatan rasmi. Selain itu, perlu ditekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menjadi ahli tetap majlis (tempat itu diambil alih oleh pemangku raja yang dilantik bagi menjalankan tugas baginda di peringkat negeri berkenaan). Bagaimanapun, kedudukan baginda sebagai ketua agama sebenarnya melayakkan baginda sebagai ahli majlis apabila majlis membincangkan persoalan agama Islam.

Selain pemilihan, majlis yang seolah-olahnya mempunyai kuasa mutlak menentukan raja mana yang patut menjadi Yang di-Pertuan Agong dan memecat baginda. Majlis Raja-Raja juga boleh mengawal pergerakan baginda: seperti izin majlis perlu diminta sebelum baginda meninggalkan negara; sesuatu yang dikatakan menyebabkan raja-raja tertentu enggan menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong pada tahun-tahun awal selepas merdeka. Sebab itu seorang profesor undang-undang pernah menyebutkan bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong itu, kelihatannya lebih rendah (subordinate) daripada Majlis Raja-Raja. Pandangan ini sukar ditolak kerana meskipun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan nombor satu dalam negara, cara pemilihan dan keizinan majlis sebelum baginda meninggalkan ibu negara menekankan kebenaran pendapat itu. Tetapi walau apa pun tanggapannya itu bukanlah kerana Majlis Raja-Raja mahu mengongkong. Agak jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong, sebagai ketua negara, perlu berada di ibu negara. Banyak perkara yang memerlukan perhatian dan mungkin, sesetengahnya, kata putus baginda. Dari sudut ini, Majlis Raja-Raja mungkin boleh dikatakan hanya berfungsi sebagai badan yang memastikan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak lalai atau lewa dalam menjalankan tugas-tugas perlembagaan baginda. Perlu disebutkan bahawa undang-undang yang memperihalkan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong, yakni Ordinan Yang di-Pertuan Agong (Menjalankan Tugas-tugas) 1957 telah diluluskan oleh Parlimen setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Dengan itu, barangkali tidak salah jika dikatakan bahawa pada hakikatnya, dengan perkenan itu, majlis yang merangka peraturan berkenaan cara Yang di-Pertuan Agong mesti menjalankan tugas-tugas baginda.

Berhubung dengan pemecatan Yang di-Pertuan Agong, perlembagaan hanya menetapkan bahawa tindakan itu hanya boleh dilakukan dengan sokongan sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis Raja-Raja mengundi menyokong pemecatan itu. Bagaimanapun tidak diperincikan soal prosedur, jenis kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan itu, siapa yang boleh membuat aduan tentangnya dan sebagainya. Berpandukan keputusan mahkamah tentang kuasa dan kelayakan pelantikan Yang di-Pertuan Agong mungkin boleh dikatakan bahawa itu semua tertakluk kepada kuasa Majlis Raja-Raja. Bagaimanapun ada pendapat yang mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah kedudukan yang paling tinggi dalam negara dan dengan itu seharusnya diadakan prosedur yang lebih terperinci. Sebab itu bolehkah kiasan atau analogi dibuat dengan perlembagaan negeri? Meskipun alasan pemecatan Yang di-Pertuan Agong tidak disebut oleh Perlembagaan Persekutuan, bolehkah dianggap bahawa sebab-sebabnya boleh dikiaskan dengan apa yang ada di peringkat negeri? Selain itu, adakah ruang untuk pengimportan prinsip undang-udang Bristish seperti prinsip keadilan semula jadi (natural justice) terpakai? Bagaimana pula kedudukannya sekiranya baginda dilucutkan daripada menjadi raja di negeri baginda? Perlu ditekankan bahawa pemangku raja hanya menjalankan tugas tidak mengambil alih kedudukan atau menggantikan raja.

Apakah ada amalan dan tradisi yang jelas dalam hubungan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan kerajaan Pusat? Ini tidak mudah untuk dijelaskan. Bagaimanapun, dalam krisis-krisis perlembagaan pada tahun 1983, 1992 dan 1993, Yang di-Pertuan Agong berundur ke belakang dan Majlis Raja-Raja memain peranan utama dalam perundingan yang terjadi selepas itu. Senario itu menyebabkan majlis, sebagai implikasi tidak langsungnya, memain peranan sebagai ketua negara. Dari segi perlembagaan ini semua mungkin boleh dihujah dengan membuat analogi kepada hak majlis untuk diminta pendapatnya dalam soal dasar pentadbiran berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu kerana kuasa tentang kedudukan istimewa itu diletakkan di tangan Yang di-Pertuan Agong.


Majlis Raja-Raja dan Institusi Beraja

Hubungan Majlis Raja-Raja dengan institusi beraja wujud dalam beberapa bentuk. Yang terpenting ialah kedudukan dan kuasa Majlis Raja-Raja sebagai pihak berkuasa yang diberi kuasa mempertahankan segala keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja daripada dikurangi oleh Parlimen. Kuasa ini telah dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957. Sesetengah sarjana melihat bahawa kuasa ini adalah bersifat mutlak. Ini tidaklah terlalu janggal sekiranya kita berbalik kepada sebab asal mengapa kuasa seperti itu diberi kepada Majlis Raja-Raja; khususnya dalam hal-hal yang melibatkan kedudukan dan kepentingan mereka. Dengan kata lain, kita memerlukan persetujuan raja-raja sebelum hak-hak mereka diambil. Sudah tentulah ini perlu dibaca dalam konteks demokrasi dan keadilan; yakni hak itu tidak digunakan untuk menafikan kedudukan dan hak orang lain.

Hubungan antara Majlis Raja-Raja juga wujud dengan adanya kuasa majlis mengambil alih kuasa pengampunan yang diletakkan pada tangan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dalam keadaan mereka sendiri yang menjadi pesalahnya. Majlis juga diberi kuasa untuk melantik pengerusi badan pengampunan apabila ia melibatkan putera atau puteri Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja itu sendiri. Di samping itu, majlis juga diberi kuasa untuk menamakan hakim dalam mahkamah khas yang diberi kuasa untuk membicarakan raja-raja. Kedua-dua kuasa ini dimasukkan ke dalam perlembagaan pada tahun 1993. Sebagaimana yang berlaku dalam ketegangan itu, Majlis Raja-Raja kelihatannya bertindak sebagai pengawas bagi raja-raja. Ini baik kerana kuasa sedemikian boleh mencegah berlakunya gejala negatif yang mungkin menyebabkan institusi beraja menjadi tidak relevan dan membebankan. Faktor penting dalam menentukan penerusan sistem beraja ialah integriti dan utilitinya. Meskipun institusi beraja dilindungi oleh peruntukan perlembagaan dan Akta Hasutan 1948, perkara yang lebih efektif ialah faktor-faktor tadi. Lagipun pelaksanaan undang-undang ini bergantung pada ihsan kerajaan. Kuasa mendakwa yang diletakkan di bawah Peguam Negara pada hakikatnya ialah kuasa kerajaan yang memerintah. Mahkamah tidak boleh mempersoalkannya.

Dalam soal agama, Majlis Raja-Raja dengan ketiadaan ketua agama bagi seluruh persekutuan, secara tidak langsung boleh berbuat sesuatu dalam keadaan tertentu. Perlembagaan menyebut bahawa sekiranya Majlis Raja-Raja memutuskan bahawa sesuatu perbuatan atau perayaan Islam itu disambut di seluruh negara, maka raja-raja hendaklah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mewakili mereka. Tidak disebut bagaimana proses itu harus dibuat; dengan bertulis atau secara lisan atau, barangkali peruntukan itu sudah cukup untuk mewajibkan raja-raja mengizinkan Yang di-Pertuan Agong mewakili mereka. Dengan kata lain, perkara mewakilkan itu adalah sesuatu yang dipaksakan oleh perlembagaan terhadap raja-raja meskipun Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil alih kedudukan dan fungsi mereka sebagai ketua agama Islam.
Contoh yang boleh disebut dalam hubungan ini ialah masalah berhubung dengan penetapan tarikh mula berpuasa dan perayaan aidilfitri. Pada tahun 1970-an, berlaku beberapa kekecohan apabila ada raja-raja, selaras dengan kedudukan mereka sebagai ketua agama Islam, membuat keputusan sendiri berhubung dengan perkara itu. Seperti yang berlaku pada tahun 1977 apabila negeri Perak menyambut aidilfitri lebih awal daripada umat Islam lain di negara ini. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan kerana bukan semua orang mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk memahami isu itu. Apalagi apabila yang ditonjolkan ialah kuasa raja berhubung dengan agama dalam perlembagaan dan bukan soal hukum yang berkaitan.

Dalam beberapa hal, kelihatannya, majlis semacam tidak mampu menangani masalah terutamanya apabila berhadapan dengan ahli-ahli politik yang berkuasa. Inilah tanggapan yang kelihatan dalam soal perselisihan berhubung dengan penggunaan masjid yang didakwa diperalatkan oleh parti politik pembangkang sebelum dan selepas pilihan raya umum pada tahun 1999. Tidak dapat dipastikan bagaimana fenomena tersebut boleh berlaku. Apabila kerana majlis memang tidak berupaya untuk berbuat apa-apa? Pada suatu ketika, menurut catatan seorang pegawai kanan kerajaan, raja-raja dikatakan menekankan bahawa agama adalah bidang kuasa mereka. Ini adalah reaksi terhadap tuduhan PAS yang mengatakan UMNO kafir. Dalam kekecohan sekarang, kita tidak tahu bagaimana sikap raja-raja, khususnya Majlis Raja-Raja. Penulis percaya bahawa kekecohan ini boleh diselesaikan menurut Islam, dan bukannya dengan melaksanakan dasar sekularisme. Walau apa pun perlembagaan telah dengan jelas memperuntukkan bahawa dalam menjalankan fungsi-fungsi mereka sebagai ketua agama, raja-raja boleh menggunakan budi bicara mereka sendiri. Kuasa yang sama juga boleh dihujah dalam konteks Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Ini kerana fungsi raja-raja yang lain: jika raja-raja diberi budi bicara dalam soal agama, mengapa Yang di-Pertuan Agong dimestikan menerima nasihat? Pendapat ini tidak konsisten. Selain itu, mungkin boleh disebut bahawa sebagai prinsip umum, sesuatu nasihat itu hanya perlu dipatuhi sekiranya selaras dengan perlembagaan dan undang-undang. Dalam soal agama, nasihat itu perlu selaras dengan kehendak Islam. Kedudukan raja dalam persoalan agama Islam ialah keperluan mempertahankan agama Islam; bukan kerana prinsip bertindak mengikut nasihat yang asasnya ialah demokrasi dan kedaulatan rakyat.

Dalam hal ini, yang agak jelas tidak berlaku ialah kurangnya inisiatif di pihak Majlis Raja-Raja meskipun majlis ini merupakan badan perhimpunan ketua agama Islam seluruh negara. Dengan demikian, meskipun kedudukan raja-raja dalam soal agama Islam bukan hanya semata-mata sebagai lambang, pelaksanaannya tidak begitu kelihatan. Boleh dikatakan semua inisiatif bermula daripada kerajaan persekutuan. Pada peringkat ini, Majlis Raja-Raja perlu mengambil langkah kerana semacam ada kekosongan apabila soal-soal agama Islam menjadi persoalan di peringkat pusat. Majlis perlu berbuat sesuatu supaya peranan dan kedudukannya kelihatan bebas dan tidak hanya relevan sekiranya dikehendaki oleh pihak yang berkuasa. Dalam soal ini, yang perlu ialah majlis mengambil langkah dan pendekatan yang sesuai dengan kehendak dan ajaran Islam yang mesti diterima oleh semua orang; baik mereka yang memegang kuasa atau sebaliknya.

Kesimpulan

Bentuk kuasa Majlis Raja-Raja dalam soal pemilihan dan kesannya terhadap perjalanan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong yang agak pasti tentang kesannya ialah betapa prinsip-prinsip dalam pemilihan itu telah dapat menghasilkan suatu bentuk pusingan dan giliran yang tersusun. Setakat ini tidak kelihatan sebarang bentuk percubaan untuk menyingkirkan dan meminggirkan seseorang raja dan seumpamanya. Ini berbeza dengan persaingan dan perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan ahli politik. Dengan demikian, institusi tradisi nampaknya lebih berupaya mempamerkan ketertiban dan kesopanan berbanding dengan sistem atau institusi yang berasaskan demokrasi.

Apakah imej teratur dan tertib dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan kekal tidaklah diketahui. Walaupun pusingan kedua-yang bermula pada tahun 1994 dengan pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kemudian Sultan Selangor pada tahun 1999- menampakkan susunan yang sama dengan yang pusingan pertama mulai tahun 1957, tidak dapat dipastikan sekiranya susunan mengikut negeri-negeri itu akan terus kekal. Selain kuasa mutlak Majlis Raja-Raja, pertimbangan-pertimbangan yang lain mungkin akan menampakkan pengaruh dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong untuk masa akan datang.

Dalam konteks pemilihan Yang di-Pertuan Agong , Majlis Raja-Raja semacam berperanan seperti majlis-majlis kerajaan di peringkat negeri. Bagaimanapun, ini tidak disebut secara jelas oleh perlembagaan. Meskipun demikian, adalah tidak salah jika Majlis Raja-Raja menerima pakai prinsip-prinsip dan amalan-amalan yang ada di peringkat negeri. Walhal hasil, institusi Yang di-Pertuan Agong sendiri, kerana jawatan ini baru, telah mengambil dan meminjam tradisi dan adat istiadat daripada negeri-negeri sebagaimana yang kelihatan dalam istiadat pertabalan.

Hubungan antara Majlis Raja-Raja dengan institusi beraja mungkin menggambarkan hakikat bahawa walaupun Majlis Raja-Raja adalah sebahagian daripada institusi beraja di Malaysia, majlis mempunyai kuasa terhadap elemen-elemen dalam institusi beraja itu. Bagaimanapun, secara jangka panjang, Majlis Raja-Raja boleh membantu kedua-dua institusi itu, terutamanya dalam membuat perubahan dan penyesuaian. Ini penting untuk hidup mati institusi berkenaan. Apatah lagi apabila Majlis Raja-Raja dianggotai oleh raja-raja itu sendiri. Oleh yang demikian, kepentingan dan perspektif mereka sama.

Tiada ulasan: